Tuesday, July 7, 2015

Darul Qarar

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah. 

20 hari dari bulan barakah ini telah pun berlalu, dan kini sudah tiba fasa akhirnya. Masa untuk merujuk kembali 'checklist' yang pernah ditulis, disenarai, diconteng dan ditampal seawal sebelum bulan ini bermula. 

Apakah persembahan kita se-gah ruh dan semangat kita pada detik awal memikirkan target amalan-amalan yang ingin dicapai? 
Apakah langkah-langkah kita seharian ini ke arah matlamat membentuk diri sebagai 'siapa' yang diidamkan selepas bulan ini berlalu nanti? 


Ayuh, fikir-fikirkan. 


Hmm.. terasa agak kekok sebenarnya memulakan penulisan setelah bertahun meninggalkan laman sesawang .blogspot ini. Dari awal tahun 1 memulakan langkah ke medan ilmu perubatan, hingga kini Alhamdulillah akan meneruskan langkah ke tahun tiga pada Ogos ini. Butuhkan do'a kalian :')

Mungkin penulisan saya agak berbeza dari penulis-penulis lain di blog ini, dan yaaah, itulah manisnya kelainan yang Allah beri kepada setiap jiwa yang diciptakan. ^_^


Darul Qarar.

Berbicara tentang Ramadhan, ingin saya kongsikan ayat tadabbur dari Surah Ghafir, ayat ke 39. 
Sila ambil Al-Quran dan pecutkan pencarian anda!





"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal."


Bagi yang sudah ketemu ayat ini ditangan anda, tahniah! kerana tidak perlu lagi saya beritahu bahawa ayat di atas adalah ucapan..........Nabi Musa 'Alaihissalam. :) Di sini kita dapat melihat, terdapat surah-surah di dalam Al-Quran, Allah pilih untuk persembahkan ia di dalam bentuk dialog atau lebih kepada naratif. Contoh naratif terbaik adalah Surah Yusuf. Ini kerana pendekatan naratif lebih mudah difahami dan dekat dengan kehidupan seharian kita. Subhanallah. 

Baiklah, kembali pada ayat tadabbur. Ketika Nabi Musa menyampaikan tauhid kepada Fir'aun, Fir'aun dengan jitunya menolak dakwah tersebut sambil berjenaka dengan meminta Hamman membina "Sarhan" (bangunan yang sangat tinggi) agar kononnya dia dapat 'melihat' Tuhan Nabi Musa. Dan Fir'aun masih menggelar Nabi Musa seorang pendusta. 

Maka, setelah itu Nabi Musa 'Alaihissalam berkata sepertimana ayat ke 39 di atas. Di sini kita harus yakin, Allah SWT tidak akan menurunkan wahyu kepada kekasih kita, Nabi Muhammad SAW tentang kisah Nabi Musa dan Fir'aun hanya untuk memberitahu kita sebagai hambaNya bahawa kisah ini 'wujud' dan 'benar' atau sekadar sebuah penceritaan yang menarik untuk dibaca.

Sahabat yang saya sayangi, mari ke mari kita lihat dan pandang sepotong ayat ini dengan pandangan hati. Berabad sudah Nabi Musa ingatkan kaumnya tentang wujudnya sebuah negeri yang kekal iaitu pada kehidupan di akhirat dan ianya sangat realiti, bukan mimpi! 

Hanya akan ada DUA sahaja pilihan untuk berada di Darul Qarar ini. 
Dua sahaja?
Ya! Dua sahaja!

Hari ini, 21 Ramadhan 1436. Ayuh kita berazam untuk jadikan Ramadhan ini sebagai 'turning point' hidup kita. Bermula saat ini, lihatlah kehidupan dunia ini dengan sudut pandang akhirat, dengan sudut pandang Darul Qarar! Kerana tidak akan ada tempat lain yang sanggup kita tinggal dan bina mahligai di negeri yang kekal melainkan insyaAllah di syurga yang hakiki. Ganbatte!

^_^


No comments:

Post a Comment